KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM menghormati keputusan bekas penyampainya, Sharifah Shahirah atau Rara yang menyertai stesen radio Era FM.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dengan keputusan Rara.
“Kami di Suria FM tidak mempunyai sebarang masalah dengan Rara. Malah, apabila mendapat tahu dia menyertai stesen radio lain, kami tetap menghormati keputusannya.
“Sejak awal, apabila dia memilih untuk tidak menyambung kontrak, kami menerimanya dengan terbuka,” katanya.
Malah katanya, menjadi lumrah bagi bagi sebuah organisasi menyaksikan pergi dan datangnya kakitangan termasuk stesen radio seperti Suria FM.
“Sebagai sebuah organisasi, stesen radio harus terus beroperasi. Penyampai datang dan pergi, tetapi perjalanan harus diteruskan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Hayati Sebuah Perjalanan Jiwa yang diadakan di sebuah hotel, baru-baru ini.
Pada 14 Mac lalu, Rara yang juga pelakon mengesahkan menjadi keluarga baharu Era FM dan bakal mengendalikan segmen 3 Pagi Era bersama Haziq Hussni dan Namie.
Pada Februari lalu, beliau mengundurkan diri daripada Suria FM selepas tujuh tahun berkhidmat. – MalaysiaGazette