Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa banjir di Kluang ke PPS

JOHOR BAHRU – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa lokasi di tiga daerah terjejas banjir iaitu di Kulai, Kota Tinggi dan bandar raya ini sejak semalam.

Menurut kenyataan TNB, penutupan membabitkan kawasan penduduk dan perindustrian itu dibuat atas faktor keselamatan.

“Setakat pukul 10 malam semalam terdapat beberapa pencawang elektrik yang masih terjejas akibat penutupan bekalan elektrik atas faktor keselamatan.

“Kawasan sekitar pencawang terjejas akan terus mengalami gangguan bekalan elektrik buat sementara waktu,” menurut kenyataan tersebut.

Jelas TNB, antara kawasan yang terkesan di Johor Bahru membabitkan Kampung Pasir Tebrau, Kompleks Sukan Bukit Mutiara, Desa Mutiara, Kampung Paya Kenangan, dan beberapa lokasi kawasan Perindustrian Tebrau.

Bagi kawasan Kulai, penutupan elektrik menjejaskan kawasan Estate Lee, Taman Jaya Sepakat dan Kampung Sepakat Baru. Turut terjejas Taman Aman di Kota Tinggi.

TNB turut mengingatkan agar mangsa banjir mematuhi panduan keselamatan elektrik.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi TNB melalui talian 15454 atau menerusi laman rasmi TNB CareLine di media sosial.

TNB memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran mereka sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut.

Terbaharu, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat melebihi 10,000 orang setakat pukul 8 pagi tadi, berbanding 3,964 orang membabitkan 917 keluarga, pada pukul 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, pagi ini mangsa banjir di lima daerah terjejas mencecah 10,763 orang terdiri daripada 3,018 keluarga kini ditempatkan di 98 pusat pemindahan sementara (PPS) .- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here