SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat yang terlibat dalam kejuruteraan rel dan pembinaan, Tektra Sdn Bhd bagi memperkasakan inovasi, penyelidikan, serta pembangunan tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan menepati keperluan industri.
Menurut Naib Canselor UiTM, Professor Datuk Ts. Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, kerjasama itu bukan sekadar satu perjanjian di atas kertas, tetapi merupakan usaha serius untuk membangunkan ekosistem pendidikan dan industri yang lebih lestari serta berimpak tinggi.
Kata beliau, dengan kerjasama ini, pelajar dan penyelidik UiTM berpeluang mendapatkan pengalaman industri secara langsung, yang akan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan praktikal dalam bidang kejuruteraan rel serta pembinaan.
“UiTM komited untuk terus memperkukuhkan hubungan antara akademia dan industri bagi memastikan graduannya bukan sahaja mempunyai asas teori yang mantap tetapi juga pengalaman praktikal yang relevan dengan keperluan semasa industri,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tektra Sdn Bhd, Datuk Anand Raja dan Pengarah Kumpulan Syarikat Tektra Sdn Bhd, Kartini Hamzah yang melahirkan keyakinannya terhadap keupayaan UiTM dalam melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.
Menurut Tektra Sdn Bhd , UiTM bukan sahaja menyediakan tenaga kerja yang kompeten tetapi juga memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan inovasi teknologi yang mampu memberi manfaat besar kepada industri pembinaan dan kejuruteraan rel.
“Pastinya kerjasama ini adalah satu langkah positif ke arah memperkukuhkan lagi keupayaan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor yang semakin berkembang pesat ini,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada MoU ini, beberapa inisiatif akan dilaksanakan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak yang terlibat.
Antaranya termasuk penyelidikan bersama dalam bidang kejuruteraan rel, program latihan industri untuk pelajar, sesi perkongsian ilmu antara akademia dan industri, serta latihan praktikal bagi tenaga akademik UiTM.
Selain itu, kerjasama ini turut melibatkan Smart Manufacturing Research Institute (SMRI) UiTM, di mana Ketua Unit Pengangkutan dan Infrastruktur, Profesor Madya Ir. Ts Dr Renga Rao Krishnamoorthy berjaya memperoleh geran permulaan penyelidikan industri sebanyak RM25,000 yang akan digunakan untuk menjalankan kajian berkaitan “High Strength Geopolymer Concrete Railway Sleepers Utilizing Green Materials.
Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut adalah untuk membangunkan bahan binaan rel ini berpotensi berpotensi menerima geran tambahan pada masa hadapan bagi memperluaskan lagi skop penyelidikan ke arah teknologi pembinaan yang lebih mampan dan lestari. -MalaysiaGazette