Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Universiti Malaya (UM) bakal menubuhkan Program Asasi UM di Universiti Peking, China susulan lawatan Naib Canselornya, Profesor Datuk Ser Ir Dr Noor Azuan Abu Osman yang mengadakan lawatan insititusi ternama serta bertemu pemimpin kerajaan di republik tersebut termasuk Timbalan Menteri Pendidikan China, Wu Yan.

UM dalam kenyataan berkata, pertemuan berprofil tinggi itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan China, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam pertukaran ilmu, penyelidikan bersama, dan penerokaan teknologi masa depan bagi manfaat bersama.

“Salah satu platform strategik dan penting dalam lawatan ini adalah pertemuan Naib Canselor dengan Presiden Universiti Peking, Profesor Gong Qihuang.

“Perbincangan antara kedua-dua pihak memberi fokus kepada peluang kolaborasi akademik, termasuk penubuhan Program Asasi UM di Universiti Peking.

“Inisiatif ini bakal mencetus lonjakan besar dalam memperkukuh reputasi UM sebagai peneraju pendidikan tinggi global, selain memperluas kehadirannya dalam ekosistem akademik elit China,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, UM turut meneroka peluang penubuhan kampus cawangan di China hasil perbincangan dengan Naib Gabenor Wilayah Shandong dan Hubei, Zhang Haibo dan Shao Xinyu.

Menurut kenyataan itu, dengan memanfaatkan kekuatan ekonomi dan teknologi yang dimiliki kedua-dua wilayah tersebut, kampus ini berpotensi menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bukan sahaja membawa reputasi dan nama baik sistem pendidikan tinggi Malaysia ke China, tetapi juga melahirkan bakat global yang berdaya saing.

“Penubuhan kampus cawangan UM ini bukan sekadar melebarkan sayap akademik, tetapi berfungsi sebagai penghubung dalam menghubungkan budaya dan pertalian sesama insan, memupuk inovasi, dan mencipta peluang sepanjang hayat bagi pelajar serta penyelidik,” ujarnya lagi.

Menurut Noor Azuan, dengan memperkukuhkan hubungan pendidikan Malaysia-China, UM komited untuk membangunkan masa depan yang lebih inklusif dan berpaksikan ilmu demi manfaat bersama untuk kepentingan kemanusiaan dan dunia masa depan.

Ini seiring dengan perubahan pantas peredaran landskap pendidikan tinggi dan juga ekosistem pertumbuhan ekonomi dan teknologi global yang menuntut strategi tuntas dan berlandaskan masa depan.

Selain itu, lawatan tersebut turut menyaksikan satu lagi kejayaan penting dengan pertemuan Naib Canselor dengan Ketua Pengarah Chinese Service Centre for Scholarly Exchange (CSCSE), Wang Daquan.

Fokus utama perbincangan adalah penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa proses pemilihan pelajar China ke UM, di mana bakat terbaik akan dipilih untuk memastikan kualiti kemasukan pelajar.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman pelajar antarabangsa, UM dan CSCSE merancang untuk menubuhkan Pusat CSCSE-UM, yang akan memastikan sistem pemilihan pelajar lebih cekap, lancar, dan berkualiti tinggi.

Kerjasama ini menjadi bukti kesungguhan UM dalam menerapkan teknologi sebagai pemangkin kecemerlangan akademik. Dengan menggabungkan AI dan alat digital dalam proses pengambilan pelajar serta operasi akademik, UM bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu dalam pendidikan tinggi, malah membina ekosistem pembelajaran yang lebih maju dan responsif terhadap keperluan global.

Usaha berani ini mengukuhkan dedikasi UM dalam memacu kemajuan akademik, teknologi, dan sosio-ekonomi di peringkat antarabangsa. Dalam tuntutan keperluan masa depan baharu, UM sedang membentuk kerjasama yang beraspirasi tinggi dan berimpak tinggi dalam menjulang kecemerlangan reputasi universiti terbaik negara sekaligus mengangkat Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Dalam sasaran masa depan yang utuh, UM kekal teguh dalam visinya untuk meneroka sempadan baharu dalam pendidikan dan penyelidikan, dan mencipta landasan strategik dalam menzahirkan perubahan berani dan berdaya saing, seiring dengan tema Universiti Malaya: Home of the Bright, Land of the Brave (Di Sini Bermulanya Pintar, Tanah Tumpahnya Berani). Penglibatan UM di China bukan hanya proses membina institusi fizikal semata-mata – ia adalah tentang membina masa depan yang lebih cerah, mencetus perubahan dinamik, dan mencorak rencana dunia baharu untuk generasi akan datang.  -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here