KEMERIAHAN meraikan sambutan Hari Raya semakin berbeza dalam perubahan waktu dan zaman. Sebelum era digital, Hari Raya disambut begitu meriah dengan kepulangan ke kampung halaman, membeli juadah Hari Raya, persiapan pakaian mahupun menghias rumah.
Antara keunikan sambutan pada zaman pra digital sebagai contoh, rumah dihias dengan kad ucapan Hari Raya yang diterima oleh tuan rumah. Kad Hari Raya ditampal pada dinding, pokok hiasan malah, dijadikan ketupat hiasan.
Zaman bergulir dan kad raya antara salah satu yang bukan menjadi memori Hari Raya. Hal ini juga memberi kesan bagaimana generasi Z menanggapi sambutan Hari Raya. Ditambah lagi dengan perkembangan era digital baik dalam bentuk pekakasan, aplikasi dan sebagainya. Bagi Gen Z, cara menyimpan dan mengenang memori Hari Raya telah berubah seiring dengan perkembangan digital.
Jika sebelum ini, album foto dijadikan arkib keluarga menyimpan segala kenangan Hari Raya. Setiap foto yang dirakam akan diproses, dicetak kemudian disusun dalam album foto keluarga. Malah, album ini dijadikan hiasan dan tatapan tetamu setiap kali bertandang ke rumah.
Namun kini, Gen Z lebih cenderung berkongsi pengalaman mereka dalam bentuk Instagram Stories, TikTok, dan vlog YouTube. Platform media sosial bukan sahaja menjadi ruang penceritaan visual tetapi, juga alat pembentukan identiti tradisi.
Gen Z mendokumentasikan sambutan Hari Raya melalui filter menarik, cabaran video, dan trend digital, menjadikan perayaan lebih interaktif dan bersifat global. Budaya ini dikatakan lebih interaktif, menyediakan arkib kenangan yang lebih kekal lama dan boleh diulang tonton berkali-kali.
Namun, benarkah kandungan yang disedikan sebagai memori budaya atau sekadar menyediakan kandungan semata-mata untuk pengikut mereka di media sosial? Kesan
daripada hal ini tidak memberikan kedekatan emosi menerusi kandungan yang dihasilkan dan jauh lebih parah, kandungan itu kemudiannya tidak menjadi memori budaya Gen Z terhadap sambutan Hari Raya.
Selain kandungan media sosial, dilihat kurangnya penghayatan akan konsep dan manfaat ucapan Hari Raya. Kad ucapan Hari Raya menjadi tali pengikat silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat pada suatu zaman dahulu. Menerusi kad ucapan ini, segala kemaafan, perasaan, kesyukuran dikongsi dan disalurkan kepada yang berkenaan.
Jarak dihubungkan dengan ucapan dan penghargaan kepada keluarga dan sahabat handai. Malangnya, ucapan Hari Raya kini hanya tinggal ucapan tetapi, tidak membawa sebarang makna baik daripada pemberi mahupun penerima.
Tambahan apabila ucapan ini dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas. Mesej ucapan lebih ringkas melalui WhatsApp, Mesej Instagram, atau kad digital dengan GIF dan emoji. Lebih mengharukan apabila ucapan dipendekkan sehingga sukar difahami maksud selain merosakkan penggunaan bahasa yang betul. Sebagai contoh, “SHRMZB” yang membawa makna “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin”; “Mat Ri Ye” yang bermaksud “Selamat Hari Raya”.
Perubahan budaya Hari Raya dalam kalangan generasi Z kini juga dapat dilihat menerusi pemberian duit raya. Nostalgia menerima duit raya dalam sampul pelbagai warna dan corak digantikan menerusi pemberian e-duit raya.
Ramai ibu bapa memilih untuk memberi e-duit raya melalui aplikasi seperti e-wallet atau perbankan dalam talian. Walaupun, lebih mudah, adakah ia menghilangkan keterujaan dan sentimentaliti Hari Raya. Tiada lagi timbulnya kesan kedekatan hubungan di antara penerima dan pemberi.
Perubahan teknologi bukan sekadar mempengaruhi cara menyambut Hari Raya, tetapi juga membentuk sikap dan gaya hidup Gen Z. Kehadiran media sosial menjadikan perayaan ini lebih terbuka dan global, tetapi dalam masa yang sama, ia juga boleh mengubah nilai sosial. Contohnya, budaya ‘post first, enjoy later’ semakin ketara, di mana ramai yang lebih fokus mengambil gambar makanan atau video OOTD (outfit of the day) sebelum benar-benar menikmati suasana raya. Selain itu, tumpuan kepada ‘likes’ dan ‘views’ kadangkala mengalihkan perhatian daripada momen sebenar bersama keluarga.
Namun, tidak semuanya negatif. Gen Z juga lebih kreatif dalam menghidupkan semangat raya melalui kandungan digital seperti tutorial memasak juadah tradisional, kisah-kisah nostalgia yang dikongsi dalam bentuk video, dan kempen kebajikan yang lebih mudah
disebarkan melalui media sosial.
Teknologi bukan sahaja mengubah cara kita menyambut Hari Raya, malah memberi kesan terhadap bagaimana kita mengenang dan mewariskan tradisi. Bagi Gen Z, nostalgia Hari Raya datang daripada video throwback di TikTok, ‘filter’ khas Hari Raya di Instagram, dan trend lagu-lagu raya yang viral. Malah, lagu raya klasik yang pernah dimainkan di radio kini kembali popular di Spotify dan TikTok melalui cabaran tarian dan remix moden. Ini membuktikan bahawa teknologi boleh menghubungkan tradisi lama dengan cara baharu yang lebih relevan bagi Gen Z.
Kepelbagaian kandungan di media sosial menjadi cabaran dalam menerapkan tradisi dan memori budaya Hari Raya dalam kalangan Gen Z. Di sini, keseimbangan dalam
penggunaan teknologi dan sosialisasi dengan masyarakat penting. Tradisi Hari Raya bukan semata-mata berbaju indah yang dibeli di media sosial, mahupun membuat konten menari dan menyanyi lagu raya serta mengikut cabaran (challenge trend) tertentu.
Penghayatan, kesedaran mengenai nilai dan kenikmatan meraikan hari kemenangan perlulah seiring. Gen Z perlu lebih proaktif sekurang-kurangnya untuk tahu mengenai warisan budaya Hari Raya tradisional. Selain itu, Gen Z juga perlu menimbangkan semula kemampuan trend video TikTok menggantikan kenangan berbual panjang bersama keluarga. Selain, mampukah digitalisasi membantu Gen Z menyimpan kenangan dengan cara yang lebih moden?
Pada akhirnya, warisan tradisi Hari Raya bukan hanya tentang jumlah ‘likes’ atau ‘views’ di media sosial, tetapi tentang pengalaman yang dikongsi bersama orang tersayang. Sama ada dalam bentuk vlog moden atau gambar Polaroid, yang paling penting ialah bagaimana kita bersama dapat terus mengekalkan nilai dan makna perayaan ini untuk generasi masa depan.
Dr. Hani Salwah Yaakup
Penyelidik
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia