KUANTAN – Lebih 1,200 penduduk yang turut melibatkan ahli keluarga masing-masing menyertai program Iftar Perdana di Masjid Imam Ash-Shafie, Kotasas di sini semalam.
Pada program tersebut, penduduk berbuka puasa dengan makanan yang disediakan dalam dulang dan mengikut kelompok ahli keluarga masing-masing.

Selain berbuka puasa di bawah konsep Iftar Bersama Keluarga dan Kejiranan, pengurusan masjid turut menyampaikan duit raya kepada 300 kanak-kanak.
Pengerusi masjid, Izudin Muhamad Amin memberitahu, penduduk yang menyertai iftar perdana itu melibatkan 17 kejiranan di Kotasas.

Jelasnya, antara tujuan penganjuran iftar perdana itu ialah bagi memupuk persefahaman dan kerjasama antara penduduk dalam setiap program dengan menjadikan Masjid Imam Ash-Shafie sebagai pusat kesatuan.
“Bermula awal Ramadan lagi, kita memang ada iftar yang disertai kira-kira 500 orang setiap hari tetapi kali ini kita adakan yang lebih besar dengan penyertaan kira-kira 1,200 orang.
“Setiap keluarga penduduk Kotasas akan membawa ahli keluarga masing-masing bagi merapatkan kerjasama selain dapat mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Turut hadir Penasihat Masjid Imam Ash-Shafie, Tengku Datuk Seri Uzir Tengku Ubaidillah.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Zainul, 30, yang datang bersama isteri serta dua anaknya merasakan program berkenaan sesuatu yang amat bermakna serta memberi impak besar.

“Masa inilah kita semua dapat berkenalan antara satu sama lain kerana kawasan kejiranan Kotasas ini amat luas hingga kita jarang bertemu.
“Apabila ada program seperti ini ia memberi manfaat besar kepada semangat kejiranan. Amat penting terutama bagi anak-anak untuk mendapat kawan-kawan baharu semasa program ini,” katanya yang bekerja sebagai jurutera. – MalaysiaGazette