GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Inisiatif MySaveFood Ramadan berjaya menyelamatkan sejumlah 52,869.5 kilogram (kg) makanan bernilai RM644,332.18 sepanjang 20 hari pelaksanaannya sejak awal Ramadan lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh berkata, lebihan makanan itu kemudiannya diagihkan kepada golongan memerlukan.

Jelas beliau, program itu dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), di 123 bazar seluruh negara melibatkan seramai 2,138 sukarelawan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh bercakap pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah MADANI 2025 di Bazar Ramadan Kipmall Kota Warisan, Sepang. Foto SADIQ SANI, 04 MAC 2025

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa makanan dan membantu golongan memerlukan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuck mengurangkan pembaziran makanan sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dan mencapai Zero Hunger,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, kata beliau, setakat kelmarin, sebanyak 2,063 peniaga di seluruh negara telah menawarkan Menu RAHMAH dengan harga RM5 dan ke bawah di lokasi Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) seluruh negara.

Jelasnya, BRR 2025 yang memperkenalkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative – ReDI) turut memberi insentif tanpa tunai kepada peniaga dan pengunjung bazar.

“Sehingga kini, seramai 159,720 pengguna telah menerima manfaat e-dompet RM20, dan jumlah ini dijangka meningkat menjelang akhir Ramadan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, setakat semalam, OPS PANTAU yang bertujuan melindungi para pengguna telah merekodkan sebanyak 51,266 pemeriksaan di bazar Ramadan seluruh negara.

Jelasnya, daripada pemeriksaan itu, sebanyak 274 kes dan 1,128 aduan direkodkan KPDN dengan 262 kompaun berjumlah RM59,500 telah dikeluarkan.

“Sesi turun padang yang dilaksanakan membuktikan keseriusan KPDN dalam memastikan kebajikan pengguna dipelihara melalui harga barangan berpatutan, mengurangkan pembaziran makanan, serta melindungi kepentingan pengguna sepanjang bulan Ramadan ini.

“Gabungan usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, tetapi juga memastikan ekosistem perniagaan yang adil, lestari, dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast