Onn Hafiz dalam mesyuarat mengenai bantuan khas yang akan diberikan kepada mangsa banjir di Johor.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11,247,000 bagi membantu mangsa banjir di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM3,000 akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri kepada 3,749 ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Bantuan ini merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

“Kerajaan negeri turut prihatin terhadap kesan bencana ini ke atas para peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang terjejas di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

“Oleh itu, bagi meringankan beban mereka, kerajaan negeri mengumumkan bantuan RM500 bagi setiap peniaga yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

“Bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 441 peniaga di dua PBT yang terlibat,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, peniaga yang menerima bantuan itu melibatkan Bazar Tebing Dato’ Onn (48 peniaga); Bazar Jalan Pandan Ria 3 (30 peniaga); Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66 peniaga); Bazar Pesiaran Dahlia (150 peniaga) dan Bazar Aidilfitri Majlis Daerah Kota Tinggi (147 peniaga).

Selain itu kerajaan negeri melalui sembilan PBT iaitu MBJB, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Daerah Simpang Renggam, dan MDKT bersetuju memberikan pengecualian semua caj kecuali sewaan kepada peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri terbabit.

Bantuan itu akan memberi manfaat kepada 9,839 peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di 180 lokasi seluruh negeri.

Kata Onn Hafiz lagi, enam masjid, 17 surau dan 43 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah serta kolej vokasional yang terjejas banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada kerajaan negeri.

Begitu juga mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di PPS, beliau berkata, masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan bantuan.

Jelasnya, permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat sehingga akhir April 2025.

Kerajaan negeri, katanya, komited untuk terus berusaha sedaya upaya dalam membantu mereka yang terkesan oleh bencana ini, demi kesejahteraan dan kestabilan hidup semua.

“Kerajaan Negeri Johor amat berdukacita dengan bencana banjir yang melanda dan memberi kesan kepada 13,089 mangsa daripada 3,749 keluarga dengan pembukaan sebanyak 100 PPS di enam daerah terjejas.

“Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sinar harapan untuk mereka bangkit semula. Insya-Allah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast