NILAI – Seorang pemandu bas ekspres cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 43, arah selatan Lebuh Raya Elite hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, bas ekspres jenis Hino membawa 20 penumpang warga China serta seorang jurubahasa warga Malaysia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori treler jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Shah Alam ke Senawang sedang mendaki di lorong kiri.
“Tiba-tiba, bas yang datang dari arah belakang melanggar bahagian belakang lori treler tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Abdul Malik, pelanggaran itu, pemandu bas mengalami kecederaan parah manakala semua penumpang serta pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.
Mereka telah menerima rawatan di Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya, dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 06-790 4389 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-699 0142 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette