Mastam membersihkan rumahnya selepas banjir surut di Kampung Maju Jaya, Johor Bahru

JOHOR BAHRU -“Allah saja yang tahu betapa sedihnya hati ini, duit sudah habis beli persiapan raya tapi semua sudah tiada.

“Kalau nak kemas pun lebih dua minggu baru selesai,” ujar mangsa banjir,  Mastam Gareng, 71, ketika ditemui pemberita semasa membersihkan rumahnya selepas banjir surut di Kampung Maju Jaya di sini hari ini.

Dia mendakwa, banjir yang melanda di kampung berkenaan paling teruk kali ini tidak seperti sebelum ini.

“Rumah saya sudah biasa dinaiki air jika berlaku limpahan dari Sungai Tebrau setiap kali hujan tetapi tidak menyebabkan kerosakan dan kerugian besar.

“Saya tinggal di sini dari 1959, memang selalu banjir sebab rumah tepi sungai tapi tahun ini paling teruk. Barangan habis tenggelam, persiapan raya seperti pakaian dan bahan mentah untuk kerepek semua sudah rosak,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Norazianah Rubaee, 40, berkata, air naik dengan cepat dan dia mampu menyelamatkan barangan yang sempat sahaja.

Dia yang bekerja sendiri itu memaklumkan, semua bahan membuat kuih raya termasuk perabot dan barang elektronik ditenggelami air sepenuhnya.

“Setiap tahun saya memang jual kuih raya ketika bulan ramadan dan ada juga ambil tempahan untuk masak juadah pada hari raya.

“Tiada apa boleh saya buat, boleh dikatakan kebanyakan peralatan atau barang mungkin rosak. Kerugian lebih RM6,000 termasuklah deposit kuih raya pelanggan yang sudah bayar 50 peratus,” ujarnya.

Dia menyifatkan banjir yang berlaku sebagai antara terburuk pernah melanda selepas banjir besar 19 tahun lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here