Teo Nie Ching beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Dewan Senai Utama, Kulai hari ini

KULAI – Banjir di Johor mengakibatkan enam stesen pemancar telekomunikasi 5G di dua daerah, terjejas

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, lima daripadanya melibatkan stesen pemancar di Johor Bahru dan satu di Pontian.

“Semua stesen pemancar 5G ini terjejas akibat bekalan elektrik yang terhenti, meskipun begitu ia tidak mengganggu perkhidmatan 4G.

“Justeru situasi ini akan terus dipantau dan kita percaya stesen tersebut akan dapat beroperasi semula selepas bekalan kembali pulih semula,” katanya.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Senai Utama, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil inisiatif menyediakan Wi-Fi percuma di PPS yang padat di Sabah, Sarawak dan Johor.

Beliau memberitahu, secara keseluruhan empat PPS di Sabah telah dipasang Wi-Fi, sementara 12 di Sarawak dan dua di Johor.

“Di Johor membabitkan Dewan Senai Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, sementara dua lagi akan dipasang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak lapan juta Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) amaran awal bencana telah dihantar oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna setakat November tahun lalu sehingga 10 Februari lalu

“Pada November sahaja sebanyak 2.7 juta SMS telah dihantar, sementara Disember 4.1 juta, sejuta pada Januari dan 13,700 setakat 10 Februari lepas.

“Justeru saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang telah membantu kerajaan menghantar amaran awal bencana,” katanya.

Nie Ching turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil berat amaran yang diberikan bagi mengelakkan dari sebarang kejadian tidak diingini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here