KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) memaklumkan perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan jadual sejak pagi ini berikutan gangguan mekanikal pada salah satu komponen landasan berhampiran Stesen KLCC.
Sehubungan itu, Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif bagi melancarkan perjalanan pengguna yang terkesan.
Katanya, perkhidmatan alternatif itu melibatkan tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Masjid Jamek; tren perantara di antara Masjid Jamek ke KLCC (Platform 1) dan tren dari Gombak akan berpatah balik di KLCC.
“Pengumuman di stesen dan dalam tren turut dibuat secara berkala. Pengguna disarankan untuk merujuk kepada pegawai stesen dan polis bantuan sekiranya memerlukan sebarang bantuan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, orang ramai boleh melayari laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat berkenaan status perkhidmatan terkini. – MalaysiaGazette