KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia. S. Ambiga dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) tidak perlu menjadi `jaguh songsang’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, Ambiga dan LFL tidak perlu menyibuk sebaliknya menyerahkan kepada syarikat Jakel dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Kamu peguam. Patuhilah undang undang. Reformasi apa yang kamu perjuangankan?
“Bukankah Jakel mengambil langkah harmoni kerana sedia menanggung kos pindah kuil ke tapak baru yang disediakan. Mana harmoninya masjid dan kuil dibina sebelah menyebelah. Akan ada masalah di kemudian hari.
“Berhentilah jadi jaguh songsang,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad turut bersetuju dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak ada mana-mana pihak cuba menjadi jaguh dalam isu pemindahan kuil tersebut.
Dalam masa sama, beliau berpandangan tindakan Ambiga dan LFL mencadangkan supaya masjid dibina di tapak alternatif berbaur hasutan supaya pihak lain berdegil dan mengabaikan undang-undang.
“Itu tanah milik Jakel. Ia dibeli melalui proses jual beli yang sah. Mana boleh tanah milik kita orang lain pula mahu tentukan apa yang boleh dan tidak boleh dibangun di atasnya…,” katanya.
Semalam, Anwar memberi peringatan kepada pihak luar antaranya penunggang agama serta peguam supaya tidak menjadi jaguh berhubung isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang didirikan di atas tanah milik syarikat Jakel.
Menurut Perdana Menteri, ketika ini rundingan bagi menyelesaikan perkara itu sedang dijalankan dan pihak luar juga diingatkan tidak membuat kenyataan yang boleh menggugat kesejahteraan kaum di negara ini. – MalaysiaGazette