KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman perlu membuktikan kewujudan kuil itu menerusi dokumen rasmi berdasarkan garis masa yang diiktiraf secara sejarah.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, ia termasuk pembuktian menerusi Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang merupakan undang-undang tertinggi di Semenanjung mengenai urusan pentadbiran tanah.
Jelas beliau, semua tanah di negara ini sama ada milik persendirian atau kerajaan, berada di bawah undang-undang KTN.
Tegasnya, tidak ada tanah yang boleh diceroboh atau diubah guna secara sewenang-wenangnya dengan alasan warisan sejarah tanpa melalui proses undang-undang yang sah.
“Pihak aktivis dan peguam hendaklah menyediakan bukti dokumentasi yang jelas mengaitkan kuil tersebut dengan sejarah tertentu, bukan hanya berdasarkan khabar angin atau cerita fiksyen.
“Adakah terdapat catatan British atau nota arkib lain yang menyebut mengenai kewujudan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman ini secara spesifik pada kurun ke-18,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kontroversi pemindahan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman di Masjid India yang mana pihak pengurusannya mendakwa kuil itu perlu kekal di atas tapak sedia ada kerana usianya yang sudah menjangkau 130 tahun, serta berfungsi sebagai pusat kebudayaan selain rumah ibadat.
Sementara itu, tambah Mohamad Shafiq, sebarang pembinaan termasuk pembangunan masjid di atas tanah milik persendirian tidak boleh dihalang.
Ini kerana, ujarnya, tanah tersebut telah dibeli dan diwakafkan untuk tujuan pembinaan masjid yang harus dihormati dan dipertahankan.
“Jika kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman ini mempunyai kaitan sejarah yang signifikan, mengapa tidak ada permohonan terdahulu untuk memelihara warisan tersebut sebelum ia dibeli atau dimiliki oleh pihak lain.
“Selama 130 tahun, tiada inisiatif untuk membeli atau mengekalkan tanah kuil sebagai warisan sejarah, menimbulkan persoalan tentang komitmen pemeliharaan sejarah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette