Kelab Komuniti Rakan Strok (Kekasih) dari Klinik Lanjutan Strok, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beriadah di Zoo Negara

KUALA LUMPUR- Bagi menggalakkan pesakit strok beriadah dalam suasana santai dan mesra pesakit, Kelab Komuniti Rakan Strok (Kekasih) dari Klinik Lanjutan Strok, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan membawa pesakit strok bersama ahli keluarga ke Zoo Negara.

Pengerusi Kekasih, Zainab Hasan berkata lawatan itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membantu pemulihan fizikal dan mental pesakit strok melalui interaksi sosial serta pengalaman baharu.

“Melalui program ini, pesakit strok mendapat pelbagai manfaat termasuk mengurangkan tekanan emosi, meningkatkan motivasi untuk meneruskan pemulihan, serta memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan komuniti yang lebih luas.

“Aktiviti fizikal ringan seperti berjalan dan senaman pagi di kawasan hijau zoo turut membantu meningkatkan tahap kecergasan serta keseimbangan tubuh mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Program tersebut mendapat sokongan Zoo Negara yang memainkan peranan penting dengan menyediakan fasiliti mesra pesakit dan aktiviti interaktif seperti pertunjukan singa laut serta ceramah pemakanan sihat yang sangat bermanfaat untuk pesakit strok.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan UKM dan Klinik Lanjutan Strok, HCTM, Prof Madya Dr Mohd Fairuz Ali berkata lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dalam membantu pesakit strok menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas strok.

“Melalui program ini juga, kita dapat menggalakkan pesakit strok untuk berdikari melalui aktiviti sosial.

“Kami berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berkala kerana ia memberi manfaat besar kepada pesakit, bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga membina keyakinan diri mereka untuk kembali aktif dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata program seperti itu dapat membuktikan bahawa pemulihan strok bukan sahaja bergantung kepada rawatan perubatan, tetapi juga memerlukan pendekatan holistik yang merangkumi aspek sosial, emosi, dan fizikal.

“Pihak kami berharap agar lebih banyak pihak tampil menyokong usaha murni ini agar lebih ramai pesakit strok dapat dibantu dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Salah seorang peserta, Sallehudin, yang juga bekas pesakit strok, berasa teruja kerana dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan dan kakitangan klinik yang banyak membantu proses pemulihannya.

“Saya dapat menghirup udara segar sambil melihat pelbagai jenis haiwan di sini. Program ini memberi saya semangat baharu untuk terus berjuang dalam proses pemulihan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here