KUALA LUMPUR – Lawyers for Liberty (LFL) dan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan diminta agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dalam isu Kuil Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India ketika ini.
Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad memberi amaran itu kerana isu berkenaan perlu diselesaikan secara harmoni dan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mencetuskan ketegangan kaum serta agama.
“LFL dan Ambiga tidak perlu keruhkan keadaan. Bertimbang rasa orang Melayu Islam tidak semestinya kena menunduk lemah. Hak semua pihak perlu dihormati tetapi jangan jadikan ini alasan untuk menekan dan mencabar kedudukan agama Islam di negara ini,” katanya hari ini.
Semalam Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek menyoal mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman walhal perbincangan masih lagi berjalan ketika ini.
Semalam Perdana Menteri turut mengingatkan agar tiada pihak yang cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu ini sebaliknya penyelesaian harus dilakukan dengan baik tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan mana-mana pihak luar termasuk peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak mengambil kesempatan untuk menimbulkan ketegangan.
“Isu ini sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan dan rundingan bukan dengan kenyataan yang menambah provokasi. Semua pihak perlu bertenang dan menghormati keputusan yang dibuat secara adil,” tegasnya.
Baru-baru ini Kumpulan Jakel mengingatkan pihak luar agar tidak mencetuskan isu tidak harmoni antara kaum berhubung penempatan semula kuil yang didirikan di atas tanah milik gedung tekstil itu.
Ketua Pegawai Kewangan Jakel, Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad mendedahkan, syarikatnya dan pihak kuil telah mengadakan perbincangan secara baik dan harmoni sejak lapan tahun lalu.
DBKL pada masa sama memaklumkan telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India, dibina pada akhir abad ke-19 dan kini berada di antara bangunan pencakar langit di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Perbincangan belum selesai, mengapa PM mahu rasmi pecah tanah- LFL
Isu Kuil Jalan Masjid India : Peguam Yang Tidak Pernah Terlibat Dalam Agama Hindu Cuba Jadi Jaguh-PM