PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru Israel ke atas Gaza, khususnya di Rafah, yang telah meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.
Kementerian Luar dalam kenyataannya pada Sabtu turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan pertumpahan darah dan genosid yang sedang berlaku di wilayah Palestin.
Menurut kenyataan itu, Israel mesti dipaksa mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB, dan kembali ke meja rundingan.
“Pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid ini membuktikan keangkuhan rejim Zionis Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, serta prinsip kemanusiaan sejagat,” menurut kenyataan itu.
Ia turut menyatakan bahawa serangan kejam itu bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan usaha diplomatik ke arah perdamaian.
Ia sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas ihsan, menurut kenyataan itu.
Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan OIC, Liga Arab, dan rakan antarabangsa bagi menamatkan konflik ini serta memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, menurut kementerian itu.
Rejim itu meneruskan keganasannya ke atas Gaza pada Selasa, mengorbankan ratusan nyawa dan mencabuli perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Jan.- BERNAMA