KULAI – Kementerian Komunikasi memilih 568 lokasi di negeri ini bagi Pelaksanaan Projek Point of Presence (PoP) Fasa 2.
Timbalan menterinya, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 17 lokasi di kawasan sekolah telah siap dibina.
Ahli Parlimen Kulai itu memberitahu, sebanyak 55 buah sekolah di negeri ini yang dipilih untuk pelaksanaan projek PoP fasa satu telah siap sepenuhnya.
Di bawah Parlimen Kulai di bawah projek PoP fasa 1 tiga buah sekolah telah dipilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, SMK Bukit Batu dan juga satu lagi Sedenak Industrial area (semua telah siap).
Di bawah fasa dua pula, (Parlimen Pulai) 12 buah sekolah telah dipilih dimana sekolah itu akan dirujuk sebagai central point dan kami akan fibrerise (gentian optik) 1 radius sampai 2.5 kilometer (km) untuk kita fibrise kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Nadi Bandar Senai hari ini.
Nie Ching berkata, antara sekolah yang dipilih untuk melaksanakan Projek PoP Fasa Dua merupakan Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Bahagia, Felda Taib Andak, SK Felda Inas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kelan di sini.
Pihaknya berharap, peluasan PoP dapat memberi kemudahan kepada masyarakat setempat sekali gus meningkatkan perkhidmatan kelajuan internet lebih tinggi.
Nie Ching sebelum ini dilaporkan berkata, Pelaksanaan (PoP) Fasa 1 di seluruh negara melibatkan penyediaan dan pemasangan 677 PoP di sekolah termasuk kawasan perindustrian dengan nilai RM673.2 juta.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak dua buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri ini dijangka akan dibuka pada hujung bulan ini.
Nie Ching memberitahu, ia melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani di Kampung Bukit Sri Wangi, Batu Pahat dan DUN Larkin di kawasan Kebun Teh.
Pembukaan kedua-dua Pusat NADI itu akan melengkapkan 101 NADI di Johor selaras dengan inisiatif 1 DUN 1 NADI.
“Kita memang amat menggalakkan penduduk sekitar datang dan menikmati fasiliti yang telah disediakan oleh NADI di mana setiap pusat NADI sekurang-kurangnya 20 unit laptop disediakan.
“..Ia boleh diguna pakai sama ada untuk adakan e-kelas dan sebagainya dan NADI juga berhasrat untuk melatih e-usahawan. Ini juga merupakan salah satu inisiatif dibawah nadi dimana kita nak bantu untuk meningkatkan pendapatan isi rumah tangga,” katanya.- MalaysiaGazette