KLUANG – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan penerbangan ihsan membawa tiga ibu sarat mengandung dari tiga perkampungan Orang Asli di daerah ini yang terjejas banjir hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketiga-tiga mereka diterbangkan dari Kampung Orang Asli Sedohok, Kampung Orang Pucur dan Kampung Orang Asli Sungai Peroh.
Penerbangan dikendalikan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM diketuai juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad dibantu Inspektor Mohd Luqmanulhakim Mansor bersama-sama Pemerhati Udara, Sarjan Mejor Jagjeet Kakar Singh serta Koperal Adeline Liu Yan Siu.
Tiga wanita yang diterbangkan itu adalah Norhamisah Bonel, 33, dari kampung Orang Asli Sedohok, Nor Haliza Rosli, 22, dari Kampung Orang Asli Sungai Peroh dan Nacca Nazizi Rafie, 26, dari Kampung Orang Asli Puchur.
“Semua wanita berkenaan berisiko melahirkan anak dalam kandungan mereka dengan usia kandungan masing-masing antara 36 hingga 37 minggu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Bahrin lagi, ketiga-tiga pesakit itu terpaksa diterbangkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini selepas kediaman mereka terputus hubungan akibat laluan keluar ditenggelami air.
Operasi bantuan bermula pukul 11 pagi dan tamat pukul 12.30 tengah hari dengan semua pesakit dirujuk ke HEBHK menggunakan tiga buah ambulan milik Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.- MalaysiaGazette