Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek

KUALA LUMPUR – Lawyers for Liberty (LFL) menempelak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan akan merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata perbincangan mengenai perkara itu masih belum dimuktamadkan dan kenyataan Anwar disifatkan dibuat secara tergesa-gesa.

“Mengapa perlu tergesa-gesa bagi (Datuk Seri) Anwar untuk melaksanakan majlis pecah tanah pada 27 Mac sedangkan perbincangan antara pihak kuil dan DBKL masih berlangsung?

“Mengapa Anwar tidak bersedia memberikan ruang dan masa yang diperlukan untuk proses itu dijalankan?, soal Zaid dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Zaid lagi, pihaknya tidak boleh menerima kenyataan Anwar bahawa adalah wajar untuk memindahkan sebuah kuil demi membina sebuah masjid di tapak yang sama.

“Adakah ini pendirian yang sesuai untuk seorang Perdana Menteri yang dikatakan sebagai ‘reformis’? Adakah ini sejajar dengan kepentingan negara yang berbilang agama dan budaya seperti negara kita?

“Dakwaan Anwar bahawa kuil tersebut dibina ‘tanpa kebenaran’ adalah salah dari segi fakta. Kuil tersebut berpindah ke lokasi sekarang, beberapa ratus kaki dari lokasi asal, atas arahan DBKL pada tahun 2008 dan dengan kebenaran bertulis mereka,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Zaid mengulangi cadangan supaya Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur dikekalkan di lokasi sedia ada, manakala masjid yang baru dibina di atas tapak kosong bersebelahan.

“Kami katakan penyelesaiannya ialah biarkan kuil kekal di situ dan bina masjid di atas tanah kosong bersebelahan.

“Semua rakyat Malaysia yang rasional akan menyokong perkara ini.

“Jika Anwar mendakwa dirinya sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, maka inilah penyelesaian yang sepatutnya disokong,’ katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa agar pihak luar antaranya penunggang agama serta peguam dinasihatkan agar tidak menjadi jaguh berhubung isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang didirikan di atas tanah milik syarikat Jakel.

Anwar berkata, ketika ini rundingan bagi menyelesaikan perkara itu sedang dijalankan dan pihak luar juga diingatkan agar tidak membuat kenyataan yang boleh menggugat kesejahteraan kaum di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here