AMPANG – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dan Perodua Myvi, yang rakamannya tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dalam satu kenyataan berkata, video kejadian yang dimuat naik oleh pemilik akaun @Riduanrahim sekitar jam 6.00 petang menunjukkan insiden kemalangan di Jalan Pandan 1 menghala ke MRR2.
Rakaman papan pemuka tersebut memaparkan Ford Ranger berwarna kelabu dipercayai bertindak menghimpit Perodua Myvi berwarna putih, sehingga menyebabkan kemalangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 4.45 petang di Jalan Pandan 1. Ketika itu, Myvi yang dipandu dari arah Kuala Lumpur sedang melalui selekoh menuju ke Jalan Dagang, Ampang.
“Pada masa yang sama, Ford Ranger dari sebelah kanan dipercayai menghimpit kereta berkenaan, menyebabkan perlanggaran pada bahagian tepi kanan kenderaan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, polis mengesahkan bahawa kemalangan itu hanya melibatkan kerosakan kenderaan tanpa sebarang kecederaan kepada pemandu atau penumpang.
Katanya kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya. -MalaysiaGazette