SUBANG JAYA – Polis sedang menyiasat insiden seorang lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh secara terbuka di dalam perpustakaan Sunway University di sini selepas video mengenainya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai dua video yang tersebar berkaitan kejadian itu semalam kira-kira jam 9.28 malam.
“Siasatan awal mendapati video tersebut menunjukkan seorang lelaki yang disyaki pelajar institusi itu, sedang melakukan aksi seperti onani di dalam perpustakaan sambil menonton video pada komputer riba.
“Satu lagi video yang tular pula memaparkan lelaki berkenaan diarak masuk ke dalam kawasan kampus oleh sekumpulan pelajar lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan lucah atau kelakuan tidak senonoh di tempat awam.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp. Vanitha T Balakrishnan di talian 017-2229832 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222. -MalaysiaGazette