MELAKA – Polis menahan seorang suri rumah selepas disyaki memukul dan menyimbah air panas ke atas anak perempuannya berusia 10 tahun kerana menggunakan alat soleknya, Khamis lalu.
Kejadian terbongkar selepas guru sekolahnya yang juga pengadu kes ini melihat kanak-kanak itu memakai baju biasa dan bukannya pakaian sukan ketika hadir ke sekolah semalam.
Menurut sumber, apabila ditanya, mangsa memberitahu dia sedang sakit dan hasil pemeriksaan mendapati ada kesan lebam di tangannya sebelum murid itu dibawa ke bilik guru untuk maklumat lanjut.
“Mangsa kemudian menceritakan kejadian berlaku pada malam Khamis lalu semasa dia bermain alat solek milik ibunya berusia 36 tahun tanpa pengetahuan suri rumah berkenaan.
“Apabila perbuatan itu disedari, wanita berkenaan dikatakan telah memarahi mangsa dan memukulnya menggunakan objek serta menyimbahnya dengan beberapa cawan air panas,” katanya.

Tambahnya ketika kejadian, dua beradik mangsa yang lain sedang tidur dan kanak-kanak itu ada memberitahu bapanya dia telah dipukul oleh ibunya.
“Guru sekolah cuba menghubungi bapa mangsa namun panggilan tidak berjawab sebelum terus membawa murid itu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan
“Bertindak hasil maklumat, wanita berkenaan ditahan polis semalam dan permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
“Mahkamah membenarkan suspek direman satu hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette