KUALA LUMPUR – Wakaf bukan sekadar berkaitan pembinaan masjid atau tanah perkuburan, tetapi mempunyai objektif lebih luas termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pembangunan hospital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Shopping pakaian dan keperluan raya asnaf di Aeon Big Wangsa Maju, di sini, hari ini.
“Wakaf bersifat ‘perpetual‘, bermaksud ia kekal dan pemilikannya tidak akan berubah.
“Sekiranya seseorang berwakaf, harta tersebut tidak boleh dijual atau diwariskan kepada waris selepas kematiannya,” katanya.
Menurutnya, sebaik sahaja sesuatu harta itu diwakafkan, ia akan memberi manfaat kepada masyarakat selama-lamanya.
“Bila seseorang itu mewakafkan tanahnya untuk membina masjid, tanah itu tidak akan berubah menjadi harta pusaka dan ia akan kekal sebagai wakaf yang tidak boleh diubah.
“Selama mana masyarakat mendapat manfaat daripada pembinaan hospital, sekolah, atau masjid yang dibangunkan melalui wakaf, pahala kepada penyumbangnya akan terus mengalir walaupun telah meninggal dunia,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa wakaf mempunyai pelbagai tujuan selain ibadah kerana boleh digunakan untuk pembinaan hospital, sekolah, serta infrastruktut yang memberi manfaat kepada semua.
“Kementerian juga telah mengarahkan JAWHAR dan Yayasan Wakaf untuk memberi penjelasan lebih jelas tentang perbezaan wakaf dan zakat supaya dapat mengelak lebih banyak kekeliruan.
“Kita juga mahu lebih ramai orang tampil ke hadapan untuk menyumbang melalui wakaf agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak,” jelasnya. – MalaysiaGazette