KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang wanita yang bertindak agresif di sebuah pasaraya di Dataran Pahlawan, Melaka malam tadi sebenarnya merupakan pesakit mental dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
Menurut laporan, kejadian berlaku pada semalam sekitar jam 7.15 malam, apabila seorang suri rumah, Ng Hui Ling, membuat laporan polis selepas dia dan anak-anaknya diekori seorang wanita tidak dikenali ketika berada di sebuah kedai dalam pasaraya tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berkenaan dilihat bercakap sendirian, menjerit, serta bertindak agresif dengan cuba mengekori pengadu sehingga ke kawasan eskalator pasaraya.
Kata beliau, wanita itu turut bertindak menendang pengadu sebelum terjatuh sendiri di lokasi kejadian.
“Orang ramai yang berada di lokasi segera mengerumuni wanita terbabit sebelum polis bantuan tiba dan berhubung dengan pihak balai polis.
“Tidak lama kemudian, pasukan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah tiba dan membawa suspek ke balai sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Christopher turut menafikan dakwaan bahawa insiden itu melibatkan cubaan menculik kanak-kanak, seperti yang tular di media sosial.
“Video yang tular bukan kes cubaan culik kanak-kanak, sebaliknya wanita itu adalah pesakit mental,” jelasnya.
Berdasarkan siasatan awal, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Melaka Tengah telah mengklasifikasikan kes ini sebagai rujukan kepada pihak hospital kerana suspek disahkan sebagai pesakit mental.
Arahan selanjutnya telah dikeluarkan oleh pegawai penyiasat untuk membawa wanita berkenaan ke Jabatan Psikiatri Hospital Melaka bagi pemantauan lanjut.
Ketika ini difahamkan suspek masih ditahan di wad bagi pemerhatian pihak hospital.
Christopher juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Kita minta juga supaya orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan memberi ruang kepada pihak berkuasa serta hospital untuk menangani situasi ini dengan sewajarnya,” ujarnya. -MalaysiaGazette