KUALA LUMPUR – Hampir 7,000 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan ditugaskan dalam Op Selamat 24 sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Op Selamat 24 itu akan mula berkuat kuasa pada 29 Mac (Sabtu) hingga 3 April (Khamis) depan.
Ujarnya, ia akan dilaksanakan selama enam hari iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Hari Raya Aidilfitri dengan mengekalkan tema sama, ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasí’.
“Terdapat 25 lokasi hotspot (aliran trafik tinggi) dan 46 lokasi blackspot (kawasan sering berlaku kemalangan) telah dikenalpasti di lebuh raya utama, di mana pemantauan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah kerosakan kenderaan atau kecemasan dan memudahkan pergerakan aliran lalu lintas sekiranya berlaku kesesakan yang luar biasa.
“Selain itu, terdapat 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot di seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan yang telah diberi perhatian JSPT dalam memastikan semua pengguna jalan raya dapat menggunakan jalan tersebut dengan selamat dan selesa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan Program Advokasi Ops Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di ibu negara hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Ramli.
Katanya, pendekatan kempen Op Selamat 24 ini adalah berteraskan penguatkuasaan menyeluruh yang masih dikekalkan seperti tahun-tahun sebelum, bagi mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.
“Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM juga akan membantu pemantauan trafik dari udara bagi menilai tahap kesesakan, selain pelaksanaan Op Lancar yang bermula lebih awal iaitu dari 23 Mac hingga 6 April,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan bersabar ketika memandu bagi menjamin keselamatan jalan raya.
“Pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan digunakan ditahap yang terbaik dengan melakukan pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan, selain pemandu juga dinasihatkan mendapatkan tidur yang cukup sebelum perjalanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette