JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM560,000 untuk kerja-kerja membaiki jalan-jalan berlubang yang rosak akibat banjir baru-baru ini melibatkan 800 kawasan hotspot.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja itu sudah bermula malam tadi dan dijangka selesai esok.
“Pembaikan melibatkan lima daerah terjejas banjir melibatkan kelima-lima daerah yang terjejas iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Kulai dengan keseluruhan peruntukan RM560,000.
“Sebahagian besarnya melibatkan 500 hot spot adalah berada di daerah Johor Bahru.
“Menerusi mesyuarat koordinasi yang dibuat, kita akan pastikan kesemua lokasi ini dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut,” katanya
Beliau berkata demikian semasa meninjau kerja-kerja menampal lubang di Jalan Besar, Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Mohamad Fazli berharap keadaan cuaca terus baik bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar dan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Kita berdoa harap cuaca baik, memandangkan Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi untuk memudahkan pengguna jalan raya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerja pembaikan penghubung jambatan di Kampung Felda Air Tawar 1 yang runtuh dan kerosakan struktur jambatan Sungai Layau di daerah Kota Tinggi akan mula dilakukan setelah langkah penyelesaian dikenal pasti.
“Disebabkan dua lokasi ini melibatkan sungai yang kita khuatir arus deras, jadi kita kena tunggu keadaan dan ambil kira faktor cuaca.
“Jabatan Kerja Raya sudah melihat kawasan tersebut, jadi kita akan cari jalan penyelesaian secepat mungkin,” katanya.- MalaysiaGazette