JOHOR BAHRU – Mangsa banjir Kampung Paya Kenangan di sini tidak menjangkakan air kali ini naik sehingga ke paras bumbung sekali gus memusnahkan harta benda mereka.
Sulaiman Abd Rahman, 43, berkata, semua barang dan peralatan dalam rumah yang sudah siap diletakkan ke tempat tinggi tidak dapat diselamatkan.
“Banjir kali ini dianggap paling buruk. Semua barangan rumah diletakkan di rak yang tinggi juga tidak dapat diselamatkan.
“Kita memang dah usaha letak barang tinggi-tinggi sebab tahu setiap tahun pasti akan banjir, tetapi banjir kali ini, langsung tak dapat selamat apa-apa.
“Ingatkan rak tinggi tu boleh selamat, kalau dah air naik lebih tinggi dari siling, kalau letak dalam siling pun sah-sah tidak selamat juga,” katanya yang dibenarkan pulang ke rumah dan membersihkan rumah hari ini.
Sulaiman dan isteri, Yuliana Narom, 41, menyewa di rumah berkenaan bersama-sama tiga anak kira-kira 12 tahun lalu dan sejak itu, saban tahun mereka berdepan dengan masalah banjir.
Katanya, permohonan mendapatkan rumah sendiri masih belum berjaya, namun dia tidak pernah berhenti berusaha.
Ditanya mengenai persiapan raya, Sulaiman menganggap tiada raya untuk dia dan keluarga tahun ini.
“Kalau ikutkan semua kelengkapan raya dah siap disediakan, tinggal nak raya sahaja. Tetapi, apa boleh buat, semuanya dah rosak ditenggelami air. Nak kemas rumah ini pun mungkin seminggu dua minggu tak selesai lagi, memang tak raya lah tahun ini,” katanya.
Menceritakan semula kejadian banjir itu, Sulaiman berkata, ketika hujan lebat berterusan Rabu lalu, dia sedang bekerja dan hanya isteri dan anak bongsunya berada di rumah.
Dia berkata, ketika itu air tidak naik tinggi dan mereka berjaya menyelamatkan beberapa barangan ke tempat lebih tinggi.
“Siapa sangka, tiba-tiba pagi Khamis, air mendadak naik sehingga paras siling. Ketika itu, kami hanya berjaya selamatkan sebuah motosikal dan diri kami sekeluarga sahaja.
“Selebihnya, memang kami reda dan pasrah,” katanya yang kemudian berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Keadaan rumah Sulaiman yang dipenuhi lumpur dan kotoran selepas banjir surut di Kampung Paya Kenangan, Johor Bahru hari ini.