Gambar hiasan

Pejam celik, tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Suasana kemeriahan semakin terasa, bukan sahaja di rumah dan pusat beli-belah, tetapi juga di dunia digital.

Jika dahulu bazar fizikal menjadi tumpuan utama untuk membeli kelengkapan raya, kini bazar raya atas talian semakin mendapat perhatian pengguna yang mahukan kemudahan, kepelbagaian, dan harga lebih berpatutan.

Dengan hanya beberapa klik, segala keperluan raya dari pakaian tradisional hingga kuih-muih boleh dibeli tanpa perlu bersesak di pasar raya atau bazar fizikal.

Menariknya, bukan hanya peniaga Melayu yang mengambil peluang ini—peniaga bukan Islam seperti masyarakat Cina dan India juga semakin memahami perubahan trend dan memanfaatkan platform digital untuk menjual barangan berkaitan Aidilfitri seperti pakaian, dekorasi rumah, dan juadah perayaan.

Fenomena ini membuktikan bahawa bazar raya atas talian bukan sekadar trend sementara, tetapi satu revolusi dalam dunia perniagaan moden.

Salah satu kelebihan utama bazar raya atas talian ialah operasi 24 jam yang membolehkan pengguna membeli-belah pada bila-bila masa. Tidak seperti bazar fizikal yang terhad kepada waktu tertentu, perniagaan atas talian memberi fleksibiliti kepada peniaga untuk meningkatkan jualan tanpa kekangan masa.

Statistik menunjukkan ramai pengguna lebih cenderung berbelanja selepas waktu berbuka (48%), selepas solat tarawih (38%), dan sebelum sahur (24%).

Selain itu, tawaran baucar dan diskaun berganda menjadikan bazar raya digital lebih menarik. Diskaun besar, baucar yang boleh digabungkan (stackable), serta penghantaran percuma menjadikan pembelian lebih berbaloi.

Menurut laporan Google, 72% pembeli percaya Ramadan adalah masa terbaik untuk mendapatkan tawaran hebat.

Interaksi secara langsung juga menjadi daya tarikan utama platform seperti TikTok Shop yang menggabungkan hiburan dengan perniagaan.

Melalui sesi siaran langsung (live), pembeli boleh melihat produk dengan lebih jelas dan bertanya terus kepada penjual sebelum membuat keputusan pembelian. “Ramadan-Raya adalah waktu yang bermakna untuk rakyat Malaysia.

TikTok bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga ruang untuk inspirasi, penemuan, dan pembelian,” kata Sea Yen Ong, Ketua Perkongsian Hasil Saluran TikTok Asia Tenggara.

Dari segi model perniagaan, TikTok Shop dan platform lain mengamalkan konsep e-dagang bersepadu dengan content-driven commerce.

Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan menjual produk tetapi turut menghiburkan pengguna.

Strategi pemasaran seperti personalisasi dan influencer marketing pula digunakan untuk mencadangkan produk berdasarkan minat individu serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap jenama melalui kerjasama dengan influencer.

Ekonomi baucar juga menjadi strategi penting dalam menarik pelanggan. Walaupun menawarkan banyak diskaun, platform e-dagang tetap menjana keuntungan melalui komisen daripada setiap jualan, kos promosi yang ditanggung oleh peniaga, dan jumlah transaksi yang tinggi.

Selain itu, syarikat seperti TikTok bijak memanfaatkan sumber pendapatan daripada iklan berbayar yang dibeli oleh peniaga bagi mempromosikan produk mereka.

TikTok turut menggunakan data pengguna untuk mencadangkan produk yang relevan kepada pelanggan, meningkatkan kadar pembelian dan memastikan lebih banyak transaksi berlaku.

Sebahagian kos diskaun dan penghantaran percuma pula ditanggung oleh peniaga sendiri yang melihatnya sebagai pelaburan untuk menarik lebih banyak jualan.

Dengan jumlah transaksi yang tinggi, platform ini masih mampu menjana keuntungan meskipun menawarkan pelbagai insentif kepada pengguna.

Selain itu, jaminan selepas jualan turut membantu meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap platform digital.

Polisi pemulangan barang tanpa kos tambahan memberi keyakinan kepada pelanggan sekiranya terdapat sebarang isu dengan pembelian mereka.

Ini membuktikan bahawa bazar raya atas talian bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi juga memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih selamat dan mudah bagi pengguna.

Fenomena bazar raya atas talian bukan sekadar satu kemudahan tetapi satu perubahan besar dalam dunia perniagaan moden.

Dengan teknologi yang semakin maju dan strategi pemasaran yang bijak, sesiapa sahaja boleh memanfaatkan platform digital ini untuk mengembangkan perniagaan mereka. Ruang perniagaan kini lebih terbuka, membolehkan peniaga kecil dan besar bersaing secara adil tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

Pada akhirnya, pengguna juga mendapat manfaat dengan lebih banyak pilihan, harga lebih kompetitif, dan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar. Tidak mustahil, bazar raya atas talian akan terus berkembang dan menjadi norma baharu dalam dunia perniagaan digital.

Oleh, Noor Aslinda Abu Seman

Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here