SEGAMAT – Dua Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dijangka tiba dari China pada April ini, akan mula beroperasi menjelang Ogos depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedua-dua tren tersebut akan melalui pemeriksaan selama tiga hingga empat bulan, sebelum memulakan operasi.
“Dua set tren dari pembekalĀ China bersama-sama lapan set yang sedang dipasang di Batu Gajah, Perak akan melengkapkan jajaran di bahagian selatan negara, susulan perkhidmatan ETS di stesen keretapi Segamat, Johor telah bermula 15 Mac lalu.
“Kita tak tunggu semua 10 set tiba baru kita beroperasi, kita mula dulu dengan mana-mana set yang telah siap, jadi kita akan tambah kekerapan dan juga tambah destinasi. Ini dilakukan secara berfasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja menaiki ETS dari KL Sentral ke Stesen Keretapi Segamat dan Majlis Edaran Pek Bubur Lambuk Aidilfitri kepada penumpang, hari ini.
Siew Fook berkata, bagi destinasi Gemas sampai Johor Bahru akan melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama sampai Stesen KTMB Segamat, fasa kedua (Stesen KTMB Kluang) manakala fasa ketiga (Stesen KTMB JB Sentral).
ETS katanya, turut menawarkan perkhidmatan kelas perniagaan yang lebih premium, memberikan keselesaan kepada penumpang.
Selain itu katanya, peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), bagi pembinaan jejambat yang menghubungkan stesen keretapi Segamat dengan terminal bas dan dijangka siap pada Oktober ini. – MalaysiaGazette