Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyelesaikan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur secara bijaksana bersumberkan falsafah Islam yang berteraskan keadilan dan ihsan.

Beliau berkata, penyelesaian perlu dilakukan berasaskan prinsip Madani yang kini sudah diterima baik masyarakat pelbagai agama dan cadangan merobohkan kuil berkenaan yang sudah berusia lebih 100 tahun adalah tidak wajar.

“Ada dua perkara yang wajar dilakukan. Pertama janganlah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu dirobohkan. Sebagai seorang Muslim saya menyeru Perdana Menteri yang juga seorang pemimpin Muslim dihormati dalam negeri dan dunia antarabangsa, maka kita sama-sama tunjukkanlah budi dan adab seorang Muslim yang diseru ajaran Islam untuk kita menghormati hak rakyat beragama Hindu di Malaysia ini.

“Jalan penyelesaian yang kedua ialah Anwar sebagai Perdana Menteri mengemukakan cadangan supaya sebuah masjid baharu yang hendak dibina itu, kita sama-sama dirikan di atas tapak lain bersebelahan atau berdekatan Kuil tersebut.

“Ini bermakna Masjid dapat dibina dan kuil yang ada di situ kekal di tapak yang sedia ada seperti sekarang tanpa dirobohkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, jika jalan penyelesaian seperti itu dapat dicapai maka banyak kebaikan dapat diperoleh, antaranya tiada hati dan perasaan mana-mana kaum dan agama terluka.

Selain itu tegas Hassan, perpecahan kaum dan agama juga dapat dielakkan.

“Tidak kurang pentingnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini selaku Perdana Menteri Malaysia bagi semua rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama dapat menunjukkan contoh sebagai pemimpin perpaduan yang adil dan penuh ihsan,” katanya.

Hassan percaya Anwar mampu menyelesaikan perkara tersebut selaras dengan Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah lama dibina, melebihi 100 tahun sejak sekian lama sebelum semenanjung Tanah Melayu merdeka. Negara kita masih dijajah Inggeris ketika itu.

“Kuil tersebut dibina dengan izin pihak berkuasa pemerintah ketika itu sebagai tempat beribadat kaum buruh India beragama Hindu yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris ke negara ini, termasuk ke Kuala Lumpur untuk membina jalan-jalan raya, landasan keretapi dan lain-lain pembinaan infrastruktur yang sesetengahnya kekal wujud sampai sekarang.

“Kuil tersebut telah berperanan secara aman untuk kepentingan masyarakat Hindu di kawasan berkenaan untuk menjalani amalan agama mereka secara aman damai hinggalah sampai sekarang,” katanya.

Kelmarin Perdana Menteri dilaporkan berkata, pihak berkaitan isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan ia berjalan lancar.

Anwar berharap usaha mencari jalan terbaik terus dilaksanakan oleh pihak berkepentingan agar isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Media sebelum ini melaporkan proses perbincangan mengenai perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata DBKL berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here