Selebriti tempatan yang juga penduduk, Rafidah Ibrahim hadir semasa lawatan dan tinjauan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

KUALA LUMPUR -Penduduk asal Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Rafidah Ibrahim menjelaskan, isu utama yang diperjuangkan mereka di kawasan itu bukan pampasan semata-mata sebaliknya pemeliharaan tanah warisan.

Dia yang juga selebriti berkata, penduduk sebenarnya mahu mengekalkan kawasan kampung itu dan yakin kerajaan memiliki dana untuk melakukannya.

“Isu pampasan sudah bertahun-tahun, bukan isu pampasan, bukan isu tidak cukup (ganti rugi) dan sebagainya. Tapi kami hendak kekal penduduk asal berada di sini dan saya yakin sangat kerajaan ada dana untuk cantikkan kampung kami.

“Ada peluang perniagaan yang akan dibuat di sini, tak diberi ruang kepada penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum itu membuat lawatan dan meninjau Kampung Sungai Baru, Kampung Baru selain bertemu penduduk di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa membuat lawatan dan meninjau isu perobohan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Sementara itu, penduduk unit flat yang terlibat dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) mendakwa telah menerima notis pengosongan premis berkuatkuasa Rabu ini, menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Mereka memberitahu, notis diterima pada 12 Mac lalu setelah mereka gagal mempertahankan pemilikan unit dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi namun proses Mahkamah Rayuan telah dibuat dan dijangka dibicarakan pada April depan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan APT 1960 bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.

Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023. – MalaysiaGazette

Antara keadaan terkini kawasan perumahan yang telah dirobohkan ketika di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here