KOTA TINGGI – Satu jambatan menghubungkan laluan utama penduduk di Felda Air Tawar 1, di sini, runtuh selepas dihakis arus banjir kawal pagi tadi.
Ketua Kampung Felda Air Tawar 1, Abdul Rashid A Samad berkata, keadaan tersebut menyebabkan laluan utama itu yang digunakan hampir 90 peratus penduduk terputus hubungan.
“Kejadian jambatan runtuh ini berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi disebabkan banjir kilat yang melanda kampung itu.
“Arus deras dan laju menyebabkan jambatan itu runtuh, dan lori yang diletakkan di atas jambatan hampir terjatuh ke dalam air.
“Jambatan ini agak penting bagi penduduk dan kita harap pihak berwajib dapat memberi segera bantuan memandangkan tidak berapa hari lagi kita akan sambut Syawal.
“Ramai anak-anak generasi kedua ketiga akan tumpu di kawasan ini terutama pada Hari Raya Aidilfitri yang berbaki lagi berapa hari.
“Saya bimbang mungkin berlaku kepadatan ketika itu dan gusar sekiranya runtuhan lebih teruk lagi berlaku,” katanya ketika ditemui di Felda Air Tawar, 1 di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, jalan itu digunakan 90 peratus penduduk kampung untuk membeli barang keperluan harian di deretan kedai yang terletak di sebelah depan.
“Kita mohon pihak jabatan terlibat membantu saya dan masyarakat membaiki jambatan ini, sekurang kurangnya supaya boleh digunakan untuk jangka masa pendek termasuklah wujudkan jambatan berbentuk sementara untuk kemudahan masyarakat di Felda ini.
“Ditambah pula menjelang seminggu lagi kedatangan Syawal penduduk masing-masing hendak membeli keperluan hari raya di kedai yang terletak di jalan itu,” ujarnya.
Beliau berkata, jalan alternatif yang ada agak jauh dan berpusing dalam kawasan perumahan sejauh kira-kira satu kilometer lencongan dan agak memakan masa.
“Kita juga bimbang akan berlaku kesesakan dalam kawasan kampung ketika hari raya,” katanya.- MalaysiaGazette