Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengemas khemah berikutan PPS di Dewan Terbuka Paya Palembang, Simpang Renggam, Kluang ditutup hari ini

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin berkurang selepas ramai dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setakat pukul 12 tengah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, ketika ini hanya 6,585 mangsa banjir terdiri daripada 1,988 keluarga berlindung di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, jumlah mangsa banjir itu berkurangan berbanding 6,911 orang daripada 2,068 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

“Johor Bahru kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 3,435 orang (1,105 keluarga) dan berada di 12 PPS yang masih aktif.

“Kluang juga merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan walaupun sedikit iaitu daripada 1,620 orang (445 keluarga) kepada 1,300 orang (365 keluarga) yang kini ditempatkan di 12 PPS di daerah itu.

“Di Pontian, daripada 1,426 orang (388 keluarga) berkurang kepada 1,419 orang (387 keluarga) di 15 PPS,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Azmi berkata, Batu Pahat sahaja yang menunjukkan peningkatan seorang mangsa banjir dengan terkini seramai 341 orang (101 keluarga) berbanding 240 orang (100 keluarga) pagi tadi, di dua PPS.

Di Kota Tinggi pula ujarnya, masih kekal dengan jumlah mangsa banjir 90 orang (30 keluarga) di dua PPS yang aktif.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Tangkak dan Segamat dijangka sehingga tengah hari ini, manakala tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.

Pada masa sama, hanya Sungai Endau yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, setakat ini.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here