BUKIT MERTAJAM – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menasihatkan anggota sukarelawan yang mengalami kecederaan atau musibah semasa bertugas melaporkan kejadian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memastikan mereka menerima faedah perlindungan yang layak.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, masih ramai yang tidak menyedari kelayakan mereka kerana gagal membuat laporan, walaupun Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) diperkenalkan sejak 2019 dengan subsidi kerajaan.
“Mana-mana anggota sukarelawan yang dilindungi di bawah skim perlindungan tersebut boleh mengemukakan laporan sekiranya mengalami kecederaan atau bencana semasa bertugas.
“Jadi saya minta semua agensi yang mempunyai sukarelawan berdaftar sampaikan mesej ini kepada mereka agar masing-masing mendapat manfaat daripada perlindungan SKSPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kesiapsagaan Awam sempena ulang tahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke-73 serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti di Permatang Pasir, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Steven Sim turut menyampaikan bayaran faedah Perkeso kepada seorang anggota APM Bukit Mertajam yang kini tidak boleh berjalan susulan dipatuk ular ketika menjalankan tugas pada 23 Februari lalu.
Sementara itu, penerima faedah SKSPS, Muhammad Syazwan Shopiee, 24, berkata, dia dipatuk ular katam tebu yang ditangkap di sebuah rumah di kawasan Juru dekat sini.
Katanya, dia kini menerima faedah berjumlah RM700 setiap bulan menerusi SKSPS.
“Saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 20 hari dan kemudian dirawat di wad biasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Impak dipatuk ular di bahagian ibu jari tangan kanan menyebabkan saya mengalami masalah saraf sekali gus gagal untuk berjalan seperti sebelum ini.
“Doktor memaklumkan ada harapan untuk saya berjalan semula namun tiada jangka masa diberikan dan saya bersyukur kerana masih diberi pulang untuk hidup,” katanya. – MalaysiaGazette