Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengemas khemah selepas banjir surut di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Panjang, Pontian, hari ini.

JOHOR BAHRU – Perkembangan banjir Johor semakin baik apabila jumlah terkini mangsa banjir di lima daerah yang terjejas tinggal 4,597 penduduk terdiri daripada 1,481 keluarga, setakat pukul 4 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding pukul 12 tengah hari tadi iaitu seramai 6,585 mangsa terdiri daripada 1,988 keluarga.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor memberitahu, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini juga  tinggal 29 buah sahaja berbanding 44 buah tengah hari tadi.

“Johor Bahru kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 3,042 orang (1,035 keluarga) berbading 3,435 orang (1,105 keluarga), tengah haru tadi yang berada di 13 PPS yang masih aktif.

“Di Pontian juga, daripada 1,419 orang (387 keluarga) tengah hari tadi, ia berkurang kepada 604 orang (167 keluarga) di tujuh sahaja PPS aktif.

“Kluang juga merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan daripada 1,300 orang (365 keluarga) kepada 525 orang (147 keluarga) yang kini ditempatkan di lima PPS di daerah itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Azmi berkata, jumlah mangsa banjir di Batu Pahat juga tidak bertambah, malah berkurang daripada 341 orang (101 keluarga) tengah hari tadi, kepada 336 orang (102 keluarga), di dua PPS yang diaktifkan.

Sementara di Kota Tinggi katanya, masih kekal dengan jumlah mangsa banjir 90 orang (30 keluarga) di dua PPS yang aktif.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru dijangka sehingga jam 6 petang ini.

MetMalaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan bagi negeri ini.

Pada masa sama, hanya Sungai Endau yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, setakat ini.

Setakat pukul 4 petang ini, semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah kecuali Muar yang dilaporkan mendung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here