KEPALA BATAS – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak akan menjadi medan penentuan terhadap kekuatan komponen parti kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebelum ini kestabilan serta kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah membawa kemenangan kepada parti dalam PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa walaupun BN mempunyai kelebihan dalam PRK Ayer Kuning, parti itu tidak boleh berasa terlalu yakin, sebaliknya perlu terus bersatu hati bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
“Mana-mana PRK kita akan anggap sebagai satu pilihan raya yang penting. Tapi apa pun, kita akan usahakan dulu dan saya yakin PRK ini akan menjadi satu lagi bentuk pengesahan terhadap kekuatan perpaduan serta Kerajaan Madani yang terbentuk sekarang.
“Kadang-kadang ramai yang mempertikaikan (kerjasama kerajaan Perpaduan), tetapi bila ada PRK inilah masa untuk membuktikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sumbangan Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP, Bertam di sini, hari ini.
Tambah Reezal Merican, UMNO Pulau Pinang, khususnya UMNO DUN Bertam, akan menggerakkan jentera parti bagi memberi sokongan serta membantu kempen calon BN yang akan diumumkan pada 7 April nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, sementara hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya di sini, pada 22 Februari lalu. – MalaysiaGazette