Mohd Jafni melawat kawasan tanah mendap di kawasan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, malam tadi akibat hujan

JOHOR BAHRU – Sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah tanah mendap yang berlaku di Pangsapuri Jalan Padi Malinja, Fasa 13, Bandar Baru Uda, akibat hujan lebat berterusan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Syukor berkata, kerja-kerja pemulihan segera dilakukan pihak melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Saya amat memahami kegusaran penduduk yang terkesan akibat situasi ini. Oleh itu, sebagai langkah awal, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan di bawah peruntukan khas bagi kerja-kerja kritikal dan kecemasan.

“Anggaran awal peruntukan adalah sekitar RM1 juta atau lebih, bergantung kepada keperluan sebenar selepas penilaian terperinci dilakukan,” katanya selepas melawat kawasan tanah mendap malam tadi.

Menurut beliau,  keutamaan akan diberikan kepada kerja-kerja pemulihan segera bagi memastikan keadaan kembali stabil dan selamat.

Antara langkah awal yang akan dilaksanakan di kawasan terjejas termasuk pembinaan semula tembok parit utama dan jalan di kawasan parkir dan penanaman cerucuk keping kekal bagi mengukuhkan struktur tebing menggantikan tembok yang gagal.

Sementara di Jalan Padi Emas 5/1 pula katanya, kerja-kerja pengukuhan tebing dengan penanaman cerucuk bakau akan dilakukan bagi mengelakkan hakisan berulang dan pembinaan semula tembok penahan parit utama sebelum kerja pembaikan lanjut dijalankan.

Beliau berkata, kerja-kerja awalan dijadualkan bermula hari ini, termasuk langkah mitigasi bagi mengelakkan risiko lebih besar kepada penduduk.

“Kerajaan negeri  akan memastikan pihak berkaitan termasuk MBJB dan agensi teknikal lain menjalankan tugas mereka dengan teliti dan efisien agar masalah ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jafni turut menyeru semua pihak, termasuk penduduk dan jawatankuasa penduduk, agar sentiasa berwaspada serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh pemulihan

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta menyediakan bantuan sewajarnya agar penduduk dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selamat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast