Ahmad memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang berlindung di PPS SMK Bukit Batu, Kulai hari ini

KULAI – Kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan parit utama secara berkala perlu diberi perhatian serius bagi mengelak banjir yang kerap berlaku di beberapa daerah di Johor.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses tersebut sangat penting terutama di sungai-sungai utama selain melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan parit.

“Jika hanya dilakukan sekali setahun, ia tidak mencukupi. Ada sungai yang dipenuhi rumput sehingga orang kata boleh bermain bola di dalamnya.

“Oleh itu, penyelenggaraan sungai perlu lebih kerap agar aliran air tidak tersekat dan dapat mengurangkan risiko banjir,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, di sini hari ini.

Katanya, selain kerja-kerja pendalaman sungai utama, meluruskan aliran sungai dan mendalamkan muara juga merupakan langkah penting yang perlu dipercepatkan.

Beliau berharap projek tebatan banjir di negeri ini yang tertangguh dapat disegerakan.

“Apa sahaja proses yang melambatkan pelaksanaannya perlu dipermudahkan supaya kejadian banjir seperti ini tidak berulang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menyifatkan bantuan RM3,000 kepada ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir sebelum Aidilfitri disalurkan kerajaan Johor sebagai yang terbesar pernah diberikan.

“Bantuan ini menunjukkan keprihatian kerajaan kepada mangsa banjir memandangkan bencana ini tidak dijangka berlaku dan disifatkan sebagai yang terburuk.

“Sebagai contoh di kawasan Parlimen Pontian, biasanya jika berlaku banjir tiga atau empat sahaja PPS dibuka tetapi kali semalam saya pergi sampai 10 PPS,” katanya.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu turut mengarahkan UMNO bahagian dan cawangan diterjejas banjir turun membantu mangsa banjir.

“Ada sukarelawan wanita UMNO yang sudah bergerak ke PPS membantu mangsa banjir dengan mengumpulkan pakaian dan dihantar ke dobi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here