KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditahan selepas terlibat kes samun barang kemas bernilai RM2 juta di kedai emas di sebuah pasaraya di Kota Damansara semalam, dikenakan reman tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi tadi dan perintah reman dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.
“Suspek dibenarkan reman oleh pihak mahkamah selama seminggu bermula hari ini hingga Sabtu.
“Manakala rakan suspek yang bertindak sebagai ‘transporter’ sudah dikesan dan dijangka menyerah diri dalam masa terdekat”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang lelaki ditahan polis selepas terbabit kejadian samun dan membawa lari tujuh dulang barangan kemas bernilai RM2 juta di sebuah pasaraya itu, semalam.
Hussein dilaporkan berkata, suspek yang juga lelaki tempatan itu dicekup sekitar jam 10.15 malam tadi di sekitar kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor kira-kira lima jam selepas kejadian samun itu. – MalaysiaGazette