Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2023. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah adendum berkaitan Datuk Seri Najib Razak, esok.

AGC memohon kebenaran untuk mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim bersidang membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Keputusan majoriti dicapai oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.

Pada pendengaran esok, jabatan itu perlu mengemukakan persoalan undang-undang yang belum pernah didengar dan diputuskan (nobel question of law) oleh mahkamah tertinggi negara.

Keputusan esok penting bagi menentukan hala tuju permohonan titah adendum yang dikemukakan bekas Perdana Menteri.

Jika permohonan AGC dibenarkan, Mahkamah Persekutuan akan menetapkan satu tarikh lain bagi mendengar rayuannya manakala jika permohonan ditolak, prosiding titah adendum akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan jabatan itu dijadualkan didengar pukul 9 pagi di Mahkamah Persekutuan 1.

Pada 4 Februari lalu, AGC memfailkan notis usul mendapatkan kebenaran merayu berasaskan beberapa premis penting seperti pencanggahan dalam tafsiran undang-undang antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti dan minoriti  Mahkamah Rayuan.

Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here