JOHOR BAHRU – Seorang tukang jahit, Nurizuna Ismail, 39, buntu bukan sahaja memikirkan rumahnya di Kampung Maju Jaya di sini dilanda banjir paras bumbung, tetapi juga kedainya dimasuki air hampir satu meter.
Dia mengakui bukan sahaja resah tetapi juga bimbang selepas lebih 20 baju raya yang siap dijahit di kedainya iaitu Nana Tukang Jahit yang diusahakan di kampung berkenaan rosak setelah terendam air lumpur akibat banjir.
Nurizuna yang masih bujang berkata, lebih menyedihkan apabila ada pelanggan yang mahu mengambil baju raya yang sudah siap itu lebih awal untuk sesi fotografi sedondon bersama keluarga sebelum Aidilfitri tiba.
“Saya ralat tidak dapat selamatkan baju pelanggan tersebut kerana tidak jangkakan banjir yang berlaku seteruk kali ini.
“Saya berada di kedai dan telah mengalihkan semua pakaian pelanggan ke tempat lebih tinggi sebelum pulang ke rumah bagi tengok keadaan rumah yang berada di kawasan lebih rendah. Air kemudian naik sehingga ke paras bumbung di rumah.
“Keesokan harinya, air naik begitu cepat dan keluarga kami kelam kabut menyelamatkan barangan penting sebelum berpindah keluar dengan menaiki lori ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Ketika melalui kedai jahit saya, air sudah naik hampir paras satu meter,” katanya ditemui pemberita ketika mengemas dan membersihkan kedainya, hari ini.
Nurizuna berkata, selain menerima tempahan menjahit baju raya, dia turut mengubah suai pakaian dihantar ke kedainya yang telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.
Katanya, ada pelanggan dalam kalangan penduduk kampung itu memahami keadaan yang dialaminya dan tidak meletakkan kesalahan pada dirinya atau meminta ganti rugi.
“Mana-mana baju pelanggan yang berwarna cerah, kesan air lumpur banjir itu nampak ketara, tidak pasti sama ada ia boleh digunakan atau hilang kesannya apabila dicuci.
“Baju yang dihantar pelanggan juga bukan murah, macam mana saya nak ganti baju itu. Tambahan pula, Aidilfitri semakin hampir,” keluhnya.
Dia mendakwa, bukan sahaja baju raya tetapi juga mesin jahit dan peralatan menjahit akibat terendam dalam air dan kerugian dilanggarkan lebih RM10,000.- MalaysiaGazette