JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas tidak lena tidur selepas kerugian hampir RM20,000 akibat diperdaya sindiket penipuan pembelian emas atas talian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mangsa yang berusia 61 tahun itu yang mendakwa ditipu selepas berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi Telegram.

“Mangsa tertarik dengan iklan lelongan emas yang dipaparkan dalam satu kumpulan Telegram sebelum berurusan dengan seorang individu menggunakan nama Marlinda Rafikah.

“Mangsa kemudian membuat pembayaran awal sebanyak RM970 untuk seutas rantai leher, sebelum diarahkan membuat bayaran tambahan kononnya untuk insurans penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang merupakan seorang suri rumah melakukan 11 kali transaksi wang antara 14 Mac hingga Khamis lalu ke empat akaun bank berbeza.

“Setelah membayar jumlah keseluruhan RM19,463.48, mangsa masih diminta untuk membuat bayaran tambahan RM1,500, menyebabkan beliau menyedari telah ditipu selepas barangan emas yang dijanjikan masih belum diterima,” jelasnya.

Menurutnya, semakan melalui aplikasi Semak Mule CCID mendapati nombor telefon dan akaun bank yang digunakan suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dan melakukan semakan terlebih dahulu menggunakan aplikasi Truecaller dan Semak Mule sebelum membuat transaksi.

“Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) di talian 997 untuk menyekat pengaliran wang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here