Wang kertas Ringgit Malaysia.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1% pada tahun 2024 dengan inflasi sederhana sebanyak 1.8%.

Ringgit pula mengakhiri tahun 2024 sebanyak 2.7% lebih tinggi berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) dan 7.5% lebih tinggi berbanding dengan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

“BNM terus memastikan rangka kerja kawal selia yang kukuh dalam usaha menggalakkan kestabilan kewangan dan melindungi pengguna kewangan.

“Pada tahun 2024, sebanyak 11 dasar penting dari segi kehematan dan amalan pasaran diterbitkan untuk menyokong pembaharuan rangka kerja modal, memperkukuh piawaian pengurusan risiko serta memastikan hasil yang adil untuk pengguna kewangan,” katanya dalam Laporan Tahunan 2024, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024.

Institusi kewangan juga memiliki permodalan yang kukuh dengan penampan yang teguh untuk menyokong aktiviti kewangan bagi ekonomi.

Menurut laporan itu, institusi kewangan juga terus mempertingkatkan usaha dalam menangani risiko berkaitan iklim serta menyokong perniagaan untuk beralih kepada operasi yang lebih lestari.

Ujian tekanan terkini juga mengesahkan keupayaan industri untuk menghadapi kejutan serius dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pada tahun 2024, BNM telah menjalankan kajian separuh penggal Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 dan nerlatarkan kemajuan teknologi, peralihan iklim dan anjakan demografi, BNM telah menyesuaikan strategi Pelan Tindakan dan keutamaan pembangunannya untuk kekal seiring dengan trend dan cabaran yang akan datang.

Tambahnya, landskap kewangan digital terus berkembang pesat, lantaran itu perniagaan dan pengguna semakin terbuka untuk menerima pembayaran digital.

Transaksi e-pembayaran meningkat sebanyak 19% kepada 409 transaksi per kapita, yang bermaksud sekurang-kurangnya satu e-pembayaran bagi setiap rakyat Malaysia setiap hari.

Walau bagaimanapun, wang tunai tetap menjadi komponen penting dalam ekosistem pembayaran.

BNM akan terus mengkaji inisiatif jangka panjang yang mampan untuk memastikan rakyat Malaysia terus mempunyai akses kepada wang tunai secara mudah dengan kos yang berpatutan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here