KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik sekiranya parti itu mempunyai ideologi dan prinsip perjuangan untuk kepentingan rakyat.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tidak ada permusuhan berpanjangan dalam politik sebaliknya perlu ada titik persamaan demi perjuangan hak keseluruhan rakyat tidak kira kaum dan agama.
“There’s never political enemy. Jika boleh prinsip-prinsip ideologi yang sama dan perjuangan yang sama, kita boleh bersama untuk mendapatkan hak kita.
“Pendirian kita jelas sahaja, ideologi itu penting, rakyat didahulukan itu penting, perjuangan itu untuk keseluruhan rakyat jelata tak kira kaum agama dan budaya itu penting…asalkan kita oleh capai persetujuan titik persamaan itu.
“…dan untuk memperjuangkan kepada seluruh lapisan rakyat tak kira kaum agama dan budaya, kita boleh bersama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hari Penubuhan Parti Gerakan di Menara PGRM hari ini.
Beliau ditanya media mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin apabila menyatakan Bersatu bersedia menjalin kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika menjadi tetamu siri audio siar Keluar Sekejap dihoskan oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Jumaat lepas.
Menurut Hamzah, tiada sebab bagi UMNO dan Bersatu untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja. – MalaysiaGazette