Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersikap inklusif dan terbuka dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik yang selari dengan perjuangan parti itu.

Ketua penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu adalah penegasan sebenar yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam wawancara bersama platform podcast Keluar Sekejap baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam wawancara itu, Hamzah dengan jelas menyebut Bersatu bersedia membentuk kerjasama sama ada melibatkan gabungan secara langsung serta berkaitan dengan asas perjuangan yang sama.

Berkenaan kerjasama dengan UMNO, Tun Faisal menambah, pendirian Bersatu adalah kekal yang mana kemungkinan tersebut boleh berlaku sekiranya UMNO bersedia meninggalkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu asas perjuangan yang sama dengan Bersatu.

“Bolehkah Bersatu bergabung dengan UMNO suatu masa nanti? Mungkin boleh berlaku, mungkin juga tidak akan berlaku.

“Cuma, jika berlaku, tidak diketahui bila dan berapa lama masa yang akan diambil sebelum ia berlaku dan belum diketahui bagaimanakah bentuknya jika ia berlaku.

“Apa pun, syaratnya, UMNO perlu kembali kepada perjuangan sebenar Islam dan Ummah, Agama, Bangsa dan Tanah Air, mengutamakan kepentingan bersama yang lebih besar, dan mengetepikan kepentingan peribadi, kelompok dan kumpulan masing-masing,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Hamzah yang mana Bersatu bersedia menjalinkan kerjasama dengan seteru politik, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.

Hamzah seperti dipetik menerusi wawancara podcast Keluar Sekejap itu berkata, tiada sebab bagi UMNO dan Bersatu untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.

Bagaimanapun, kenyataan Hamzah itu dipersoalkan beberapa pihak yang menyifatkannya seolah-olah tindakan terdesak untuk membentuk kerajaan selain menimbulkan tanda tanya berkenaan masa depan Perikatan Nasional (PN) khususnya tentang kerjasama dengan Pas.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, kenyataan Hamzah itu tidak sepatutnya dilihat dari sudut politik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai dalam konteks lebih luas iaitu berkenaan penyatuan orang Melayu dan umat Islam.

Jelas beliau, adalah menjadi hasrat seorang pemimpin Muslim dan orang Melayu termasuk dalam Bersatu untuk memastikan umat Islam kembali bersatu demi menunaikan tanggungjawab khalifah dan imamah (kepimpinan) yang diamanahkan Allah.

“Persoalannya, mampukah dan sanggupkah UMNO meninggalkan DAP dan PH serta jawatan, gaji, imbuhan, manfaat dan habuan duniawi yang diperolehi melalui kerajaan campuran PH-BN untuk kembali mengangkat perjuangan Islam dan ummah, agama bangsa dan tanah air serta kembali kepada agenda penyatuan dan Permuafakatan Ummah bersama Bersatu dan Pas?

“Mampukah UMNO kembali kepada dasar asal UMNO iaitu No Anwar, No Dap? Setakat ini belum nampak lagi….,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast