Kakitangan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn melambaikan tangan kepada ahli keluarga selepas keluar dengan menaiki trak polis pada keputusan rayuan bebas dan jamin di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 24 MAC 2024.

KAJANG – Mahkamah Tinggi membenarkan enam wanita ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang untuk dibebaskan dengan jaminan RM40,000 serta dua penjamin.

Keputusan dibuat di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang hari ini.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian setelah pihak pendakwa raya tidak membantah permohonan tersebut.

Selain itu, permohonan diluluskan kerana kesemua pemohon tergolong dalam kategori pengecualian seperti yang termaktub dalam Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka yang diberikan jaminan ialah Khalilatul Zalifah Mohammad Jamil (28); Nur Jannah Omar (23); Asmat@Asmanira Muhammad Ramly (45); Nurul Jannah Idris (29); Siti Hajar Ismail (52); Mahani Kassim (55), Siti Salmiah Ismail (58); dan Azura Md Yusof (58).

Hakim turut menyatakan tiada bukti dalam afidavit pihak responden yang menunjukkan mereka berisiko melarikan diri atau mengganggu saksi jika dibebaskan dengan jaminan.

Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 22 individu yang ditahan di bawah SOSMA dan didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, mereka dikenakan beberapa syarat jaminan, termasuk larangan mengganggu saksi pendakwaan dan keperluan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Ahli keluarga melambaikan tangan ketika trak yang membawa Kakitangan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn keluar dari kompleks penjara selepas mendengar keputusan rayuan bebas dan jamin di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 24 MAC 2024.

Mereka juga diwajibkan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang setiap dua minggu sehingga perbicaraan selesai serta hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Jika sakit, penjamin perlu mengemukakan sijil perubatan dari hospital atau klinik kerajaan.

Hakim turut menegaskan bahawa kegagalan mematuhi syarat jaminan boleh mengakibatkan waran tangkap dikeluarkan, wang jaminan dirampas atau dinaikkan dan penjamin dipenjarakan sehingga kes selesai.

Sementara itu, permohonan jaminan bagi 18 lelaki lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, 66, ditolak.

Keputusan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat mahkamah serta keadaan kesihatan mereka yang masih baik dan boleh menerima rawatan dalam penjara.

Sebelum ini, peguam Kamal Hisham Jaafar, yang mewakili salah seorang pemohon menjelaskan permohonan jaminan dibuat mengikut Seksyen 13(2)(b) SOSMA yang membenarkan pengecualian untuk individu di bawah 18 tahun, wanita atau mereka yang mengalami penyakit serius. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast