KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta apabila Huzaimah Muain dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.
Huzaimah, 45, sebelum ini merupakan Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan dan kepercayaan besar yang diberikan kepadanya untuk menerajui kepimpinan Pengakap di negeri itu.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini.
“Ini bukan sahaja satu penghargaan, tetapi juga amanah besar untuk memastikan Pengakap di Perlis terus berkembang dan inklusif kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang atau jantina,” katanya pada Istiadat Pentauliahan Pesuruhjaya Kanan dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri baru-baru ini.

Menurut Huzaimah, fokus kepimpinannya adalah untuk memperkukuh nilai-nilai kepemimpinan, semangat berpasukan dan membentuk sahsiah dalam kalangan ahli Pengakap, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat serta negara.
Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis turut menekankan kepentingan pendidikan dalam pergerakan Pengakap, selain berusaha memperkasakan program berbasis komuniti di negeri itu.
Dalam pada itu, Huzaimah turut berterima kasih kepada suami dan anak-anaknya yang sentiasa memberi sokongan penuh terhadap penglibatannya dalam pergerakan Pengakap.
“Suami saya sendiri bertugas dalam badan beruniform, jadi dia sangat memahami dan menyokong peranan saya. Anak-anak saya juga aktif dalam Pengakap, jadi mereka turut serta dalam banyak aktiviti yang saya jalankan,” katanya.
Huzaimah mula aktif dalam Pengakap sejak sekolah rendah dan secara serius menyertai kepimpinan Pengakap pada tahun 2009.
Beliau dilantik sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri pada 2015, kemudian sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri pada 2021 sebelum menjadi Pemangku Ketua Pesuruhjaya pada 2024.
Pelantikan rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis menandakan satu lagi langkah besar dalam memperkasakan kepimpinan wanita dalam pergerakan Pengakap di Malaysia. – MalaysiaGazette