Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai dirakamkan keterangan hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, bekas Perdana Menteri itu berkemungkinan dipanggil semula bagi proses sama jika perlu.

“Rakaman percakapan selesai setakat hari ini, akan disambung pada tarikh yang belum ditetapkan lagi,” katanya.

Sesi merakamkan keterangan Ismail Sabri pada hari keenam berakhir selepas lima jam.

Beliau meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 3.05 petang.

Beliau tiba di pekarangan ibu pejabat SPRM pada pukul 9.54 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam serta diiringi kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini merupakan kali ketujuh Ahli Parlimen Bera itu dipanggil untuk dirakamkan keterangan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatannya antara Ogos 2021 hingga November 2022.

Pertama kali Ismail Sabri dipanggil SPRM adalah pada 19 Februari lalu berkaitan pengisytiharan aset.

Beliau kemudian dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada 13, 14 19 dan 20 Mac.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.

Pada 3 Mac lalu, Azam berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah ‘safe house’ hasil serbuan badan antirasuah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here