PUTRAJAYA – Sesi merakamkan keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari keenam berakhir selepas lima jam.
Ismail Sabri dilihat meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 3.05 petang.
Ditanya sama ada beliau akan hadir lagi untuk dirakamkan keterangan lagi esok, Ismail Sabri hanya mengucapkan Selamat Hari Raya.
“Selamat Hari Raya semua,” ucap Ahli Parlimen Bera itu kepada para wartawan dan pengamal media yang berada di luar ibu pejabat SPRM.
Ismail Sabri meninggalkan SPRM dengan menaiki kenderaan berwarna hitam setelah memasuki ibu pejabat badan itu pukul 9.54 pagi tadi.
Untuk rekod, hari ini adalah hari keenam Ismail Sabri dipanggil untuk merakamkan keterangan beliau.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.
Pada 3 Mac lalu, Azam berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house hasil serbuan badan antirasuah itu. – MalaysiaGazette